UPSR PT3 2020 Dibatalkan : Peranan Ibu Bapa.
KPM Umum UPSR PT3 2020 Dibatalkan.

Sepertimana yang dilaporkan oleh KPM, terdapat beberapa perubahan kepada peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM bagi tahun 2020 disebabkan oleh penularan wabak Covid-19.
UPSR dan PT3 dibatalkan bagi tahun 2020 namun mekanisme baharu akan diperkenalkan untuk murid tahun 6 dan tingkatan 3.
Bagi pelajar tingkatan 5 pula peperiksaan SPM dijangka akan dijalankan pada suku pertama tahun 2021.
Wabak Covid-19 ini telah membawa pelbagai perubahan dari segi kehidupan normal seluruh masyarakat. Jika dulu boleh bersiar-siar di taman setiap minggu, singgah di pasaraya dan ziarah menziarahi sanak keluarga kini kita dengan penuh cekal tetap berada di rumah untuk mengelakkan dari jangkitan wabak.
Para pelajar juga agak terjejas dengan penutupan sekolah secara keseluruhan. Setakat ini masih tiada tanda bila tarikh sekolah akan dibuka. Menteri Pendidikan juga menyatakan jika sekolah dibuka kelak, pelajar tingkatan 5 dan tingkatan 6 akan diberi peluang untuk ke sekolah terlebih dahulu memandangkan mereka masih perlu menduduki peperiksaan awal 2021.
Peranan Ibu Bapa
Banyak dalam kalangan ibu bapa UPSR dan PT3 agak gusar pembatalan peperiksaan akan menyebabkan anak-anak mereka tidak lagi berminat untuk belajar.
Hal ini akan memberikan kesan jangka panjang kepada pelajar. Anak-anak perlu di beri penjelasan yang baik kepentingan untuk terus belajar walaupun tanpa ada peperiksaan besar. Apa yang mereka belajar sekarang adalah asas kepada pelajaran seterusnya di peringkat lebih tinggi. Masa yang ada perlu digunakan untuk terus menelaah pelajaran untuk masa depan.
Anak-anak UPSR dan PT3 perlu dijelaskan, penguasaan topik semasa mereka di darjah 6 dan tingkatan 3 amatlah penting supaya mereka tidak mengalami kejutan budaya apabila masuk ke tingkatan baru yang lebih mencabar.
Mereka juga harus diingatkan KPM masih lagi belum menerangkan dengan terperinci mekanisme baru yang akan digunakan bagi menggantikan peperiksaan UPSR dan PT3.
Semoga segala kepayahan dan kesukaran yang dihadapi hari ini bakal memberikan kesenangan di masa depan.
Kami ingin mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada semua barisan hadapan negara yang bertungkus lumus menghadapi wabak ini dan tidak lupa juga tahniah kepada seluruh masyarakat yang tetap berada di rumah.
#kitamestimenang
#kitajagakita